Saturday, October 15, 2011

Satu Sonata Klasik

Bab 4

3o tahun kemudian. Hatta selepas bergelar suami isteri, papa mama, bergaduh, berkasih dan terus menerus bercinta, Fadhli dan Farah terus kekal. Setiap hari yang dilalui penuh rasa istimewa, dan yang paling penting penuh rasa seperti bertemu kali pertama.

Dan hari ini, 30 tahun kemudian, selepas adegan kali pertama mereka bertemu, satu lagi sejarah bakal ditulis dalam diari kisah cinta mereka, yang pada pendapat Fadhli, layak disamakan dengan Romi dan Juli, atau paling kurang, Nur dan Adam.

***

Hari ini anak tunggal mereka, Is bakal melangsungkan perkahwinan mereka. Sepertimana contoh ibu klasik, Farah kalut bersiap untuk menghadiri majlis di rumah pengantin perempuan. Dan Fadhli, contoh klasik seorang bapa, hanya menunggu di dalam kereta dengan tenang.

" Awak nak pergi ke tak ni? " tanya Fadhli, dengan dahi berkerut.

" Okay. Dah siap. Dah siap. " jawab Farah. Masih lagi kalut yang tak hilang-hilang.

" Eh, saya tak kunci pintu lagi la! " kata Farah, dengan nada kalut tegar.

" Sudah la. Kan dah berkunci tu haaa. " sembang Fadhli kemas, sambil menjuihkan mulut ke arah pintu.

" Oh okay. Okay. " jawab Farah acuh tak acuh sambil membetulkan tudungnya ( yang sudah 16 kali dibetulkan olehnya).

" Mohon abang pandu dengan cermat tapi pantas. Kita dah lambat dah ni. " tegas Farah dengan ayat skema selaku pekerja kerajaan yang agung.

" Ahhhh! Siapa yang lambat tadi? Orang dah cakap dah cepat-cepat kan? " jawab Fadhli sambil belok ke arah lorong kedai runcit berderet yang juga merupakan susur keluar ke arah jalan besar di hadapan perumahan mereka.

" Kita kena cermat, bang. Semua kena sempurna. Lagipun bukan selalu anak kahwin. " balas Farah sambil mengenakan gincu warna merah jambu ke atas bibirnya.

" Iyalah! " jawab, Fadhli. Malas bertekak barangkali dengan Farah.

" Eh, bang! Pusing balik! Pusing balik! Saya tak kunci rumah la tadi! " jerit Farah tiba-tiba apabila kereta mereka sampai di traffic light depan kedai Pak Mat.

" Eh, awak ni. Kan tadi awak dah kunci. Berapa kali saya nak cakap? " tegas Fadhli tiba-tiba. Misai pendeknya berkerut menandakan ketidakpuasan hatinya.

" Eh yeke? Ada ke? " soal Farah. Kerut mukanya tiba-tiba berubah. Matanya kosong seolah-olah berada di lohong gelap yang menantikan ketibaan cahaya.

" Awak okay tak? " tanya Fadhli yang menyembunyikan nada cemasnya.

" Erm. Okay. Bawa kereta elok-elok tau. Bukan selalu anak kita nak kahwin ni. " jawab Farah, tersenyum menghadap Fadhli. Senyuman yang berusia 30 tahun lebih.

Dan senyuman itu sudah cukup. Cukup untuk menghilangkan debar di dadanya. Farah masih gadis yang dicintainya 30 tahun dahulu, bisiknya.

" Abang...? " kata Farah tiba-tiba.

" Haah, kenapa? Nak berhenti beli apa-apa ke? " tanya Fadhli serius sambil memandu Proton Wiranya di arah jalan besar.

" ...tadi saya ada kunci rumah tak? " tanya Farah, dengan nada risau, sambil membetulkan tudungnya untuk kali ke 17.

Dan hari itu, kisah cinta berusia 30 tahun ini bertemu suatu dinding gelap yang besar.

Dan segalanya berubah hari itu.

to be..

1 comment:

leha steamboat said...

cepatsambung cepatsambung....!