Thursday, September 29, 2011

Satu Sonata Klasik


Bab 3

5 tahun selepas itu, Fadhli dan Farah berkahwin.

Tiada siapa yang menjangkakan itu akan terjadi. Ismeth, teman sebilik Fadhli tak pernah menjangka, teman sebiliknya akan berkahwin dengan seorang gadis seganas Farah. Aisyah, kawan baik Farah sejak kecil tidak pernah menjangka Farah akan berkahwin dengan seorang lelaki yang seserius Fadhli.

Namun, ketika berdiri di atas pelamin, menghadap pasangan itu, Ismeth dan Farah hanya mampu tersenyum mengenangkan takdir yang menemukan mereka. Dan melihat kepada Farah dan Fadhli, takdir pastinya tersenyum juga memandang mereka seolah-olah berbisik ; "Ini merupakan salah satu masterpiece aku".

****

3 tahun selepas perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata. Lelaki. Iskandar Zulkarnain diberi nama. Mengenangkan nama seorang pahlawan Islam yang berani kata Fadhli, sangat ironi jika melihat keadaan Fadhli sendiri.

Namun kisah cinta ini tak berakhir di situ. Mereka hidup bahagia selama 5 tahun, 10 tahun, 20 tahun.

Namun, tak seperti kisah cinta di dalam novel kanak-kanak, kisah cinta ini malangnya tak berakhir dengan bahagia selama-lamanya.

Dan, di saat inilah aku berharap ada nenek tua berbola kristal yang dapat meramal masa depan. Kalau ada dia mungkin Fadhli dan Farah tak bertemu.

Dan kalau ada dia juga, pasti sepasang jiwa tak menderita.

to be..

Wednesday, September 21, 2011

Satu Sonata Klasik

Bab 2

" Sape budak laki pakai baju Angry Birds tu, Cah? " tanya Farah, di bawah pondok menunggu bas yang redup-redup kerana hari yang mendung, kepada sahabatnya Aisyah.

" Mana", tanya Aisyah sambil mencari ke kiri dan kanan ( dalam masa yang sama Farah menjuihkan mulutnya ke hadapan ke arah ampaian pelajar lelaki di seberang jalan).

" Oh. Palie la tu. Tak kenal ke? Dia femes kot, dia kan artis. Penyanyi. " jawab Aisyah dalam nada yang peduli tak peduli sambil memandang ke kiri, berharap supaya bas cepat sampai sebelum hujan mencurah-curah.

" Penyanyi? " kata Farah lagi sambil tergelak kecil memandang Fadhli yang gigih mengangkat kain di jemuran, yang nyatanya terlalu banyak walaupun untuk tangannya yang panjang itu dan telah terjatuhkan beberapa helai baju, kain, seluar dalam semasa cuba untuk mengangkat semua kainnya.

" Dah, ko pehal lak ni? " tanya Aisyah, bingung melihat sahabatnya tergelak kecil, dan dengan serta merta terus memandang ampaian lelaki, melihat keadaan Fadhli yang bertungkus lumus mengangkat pakaiannya, turut ketawa kecil juga.

" Cah, ko ada nombor telefon dia tak? "

****

Hujan waktu petang sampailah ke waktu malam, dengan angin yang menderu-deru meniup dahan pokok. Bunyi dahan yang berlanggar sesama sendiri menambahkan lagi unsur saspen yang sudah sedia ada di dalam kegelapan malam.

Dengan keadaan cuaca yang sebegitu, pasti malang untuk sesiapa berada di luar pada waktu dan ketika itu juga.

Ismeth masuk ke dalam bilik, dengan memakai tuala dan rambut yang basah, jelas baru lepas mandi.

" Hujan kali ni tak main-main. Aku rasa macam nak terbang kena tiup angin tadi. " kata Ismeth yang jelas berseloroh sambil memegang perutnya yang buncit itu menandakan dia sudah bersedia untuk makan malam.

" Ismeth, aku nak tanya sikit boleh tak? " kata Fadhli tiba-tiba, sambil meletakkan buku yang sedang dibacanya, Pink itu Tidak Gay.

" Nak tanya apa? " kata Ismeth, membelakangi Fadhli sambil mengering rambutnya.

" Ko kenal Aisyah kan? Budak lontar peluru tu. "

" Aisyah? Kenal. Aku kan jurulatih dia. " jawab Ismeth, kali ni menoleh melihat Fadhli. Bukan selalu Fadhli bertanya tentang perempuan pada Ismeth. Kali terakhir dia bertanya nama perempuan adalah ketika dia bertanya nama tukang masak kafe kolej mereka. Itu pun kerana ingin membuat aduan kerana Fadhli telah menjumpai sehelai rambut di dalam kuew tiaw kungfunya.

" Err, siapa nama kawan yang selalu dengan dia tu eah? " tanya Fadhli, sedikit segan kali ini. Kalau dilihat dengan teliti, Ismeth yakin dia dapat melihat pipi Fadhli sudah bertukar menjadi merah ketika bertanya. Sudah tentu bukan kerana kesejukan malam itu.

Sebenarnya semasa cuba mengangkat kain yang dijatuhkan olehnya siang tadi, dia melihat kelibat dua wanita di perhentian bas di seberang jalan. Dan entah kenapa, melihat seorang gadis yang duduk tergelak kecil kepada sahabatnya yang gelisah menanti ketibaan bas, membuatkan hati Fadhli berkocak.

Dan pada masa itu, entah kenapa juga, dia merasakan angin telah berhenti bertiup. Dan masa telah berhenti apabila gadis itu memandang dirinya.

" Farah. Dia pun budak sukan juga. Tapi dia tak power sangat pun. Rasanya sebab dia suka makan burger. " seloroh Ismeth.

" Pehal tanya? " tanya Ismeth, hairan.

" Err, Ismeth, ko ada nombor dia tak? "

to be..

Saturday, September 10, 2011

Satu Sonata Klasik

Bab 1

Kisah Fadhli dan Farah bukan satu kisah yang menarik setaraf dengan Hamlet, Romeo dan Juliet hatta Julius Caesar sekalipun.

Suatu kisah cinta yang tidak mustahil untuk kita ramal. Tidak mustahil untuk kita teka ke mana perginya. Suatu kisah cinta yang tak perlu ada bola kristal dari nenek jubah hitam dalam khemah gipsi untuk kita tahu kesudahannya.

Aku tipu.

Kalau ada nenek dan bola kristal itu, walaupun sedikit menakutkan (Farah tidak suka warna hitam), mungkin kesudahan kisah ini kita dapat lihat.

Dan mungkin, kalau ada nenek dan bola kristal, Farah dan Fadhli tidak akan jatuh cinta.

****

Dari cerita orang di sana, dan dari saksi yang melihat, petang itu awannya mendung. Anginnya sepoi-sepoi bahasa yang kian minit kian meningkat naik lajunya. Dari jauh dengar sayup-sayup bunyi guruh, atau mungkin bunyi motor Arif yang mahu ke kelas sebelum hujan mencurah.

" Palie bangun. " sapa Ismeth. Tegas dalam kemeja putih bertali leher hitamnya.

Pin! Pin! Bunyi hon motor Arif dari jauh.

" Palie, bangun. " sapa Ismeth lagi. Kali ni lebih tegas sambil menyarungkan kasut kulit hitam yang dibeli di Petaling Street minggu lepas.

" Palie, baik lu bangun. Gua nak pergi kelas ni. Kain kat ampaian tu siapa yang nak ambil kejap lagi? " terang Ismeth panjang lebar berserta dengan logiknya sekali.

Barangkali kerana logik Ismeth atau bunyi hon motor Arif yang membingitkan, Fadhli bangun dari tidur petangnya, menyarung baju Angry Bird, dan bergegas ke tandas untuk membasuh muka.

Keluar dari tandas, dia berdiri di ruang koridor yang menghadap jalan raya sambil memandang langit.

" Nak hujan ni. " logik Fadhli.

Berbekalkan seluar pendek dan baju Angry Bird, Fadhli gagahkan juga badan yang lesu ke ampaian yang berhampiran.

Kalaulah Fadhli tahu Fadhli akan berjumpa dia, baik saja kalau dia tak pakai baju Angry Bird tu.

Sangat memalukan.

to be..

Satu Sonata Klasik

Prolog

Mak pernah cakap satu perjalanan yang sukar bermula dari satu langkah yang mudah. Ah, aku tipu. Itu bukan kata-kata dari mak. Itu kata-kata dari orang lain yang asyik diulang-ulang oleh mak.

Tapi aku suka memikirkan semua kata-kata yang indah itu datang dari mak.

****

Mak merupakan penghidap Alzheimer stage yang terakhir. Mak sudah tak mampu bercakap, tapi masih mampu memahami. Kadang-kadang mak akan menitiskan air mata bila melihat aku.

Pelik. Kata doktor memori mak sudah hilang bersama diri mak. Mak tak mungkin mengenali aku lagi.

****

Mak akan terus jadi mak, aku rasa. Walau di ambang ajal sekalipun, mak akan terus jadi mak.

to be...