Wednesday, January 5, 2011

Aku Terbaik Untukmu


Mata anak gadis kacukan Inggeris-Melayu itu aku tatap sepuasnya. Tangannya aku genggam erat. Matanya sayu memandangku. Walau dalam keadaan cemas sebegini dia masih mampu mengutuskan senyuman buatku.

Matanya masih kuat memandangku. Aku tidak pernah lupa pandangan itu. Pandangan yang membuatkan aku jatuh hati. Pandangan yang membuatkan aku melakukan perkara yang tidak pernah aku fikir untuk aku lakukan hanya untuk menambat hatinya.

Anak gadis yang dilahirkan di London ini memang terkenal.

Dalam usia yang muda dan wajah yang manis, dia sudah ramai peminat dan secret admirer. Tapi ditolak mentah-mentah semua orang.

Alasannya mudah, dia mencari orang yang serius dengannya. Bukan sekadar orang yang hanya mahu mengejar susuk tubuhnya dan wajahnya yang setaraf Aishwarya Rai dan Angelina Jolie.

Kami berkenalan setelah dikenalkan oleh teman sejawatnya. Dan kami terus berkawan selepas itu. Selama dua tahun kami kenal dan berkawan tapi aku langsung tidak pernah meluahkan rasa hati aku pada dia.

Hinggalah aku mendapat khabar dia akan ditunangkan di London bersama seorang tokoh konglomerat yang berjaya.

Hingga hari kami berpisah di KLIA, aku tidak melafazkan rasa hati aku padanya. Dan kata terakhir dia sebelum kami semua berpisah,

" Aku rasa sayang mahu tinggalkan ros putih Cameron. Ros putih di sini adalah ros yang paling cantik. "

****

Hari pertunangan dia dan tunangannya terhenti kerana sekujur tubuh yang muncul tiba-tiba di ruang tamu rumahnya sambil memegang sejambak ros putih.

Entah dari mana datang tenaga dan keberanian untuk aku datang ke negara penjajah ini dan menghentikan majlis pertunangan orang.

Wajah bonda dan ayahandanya merah padam. Mati aku. Wajahnya juga merah padam. Dia merenung tajam wajahku.

Saat aku melihat alis matanya aku sedar tujuan aku ke mari.

Aku berlutut dan memberikan ros putih itu pada anak gadis itu.

" Mungkin perjalanan 1000km aku hanya sia-sia. Mungkin ini tindakan bodoh yang tidak akan membuahkan hasil. Dan mungkin aku akan dibenci oleh semua orang dalam ruang ini pada masa akan datang. Tapi sesungguhnya aku tidak boleh hidup tanpa melafazkan kata hati aku pada kau. Mungkin aku tidak sesempurna mana-mana lelaki dalam hidup kau, tapi apa yang aku rasa adalah yang terbaik untukmu. "

Anak gadis itu diam sambil merenung ibu dan bapanya. Ibunya mengeluh. Dan dia melafazkan kata-kata yang aku tunggu selama 2 tahun.

" Aku ingat takkan ada putera yang sanggup datang menyambut hatiku. "

Dan tanpa aku sedar, aku berada di dalam dakapannya.

****

Hari ini saat-saat yang menakutkan itu rasa sangat jauh. Kerana hari ini aku juga rasa takut dan risau pada sekujur tubuh di depanku ini. Aku menemaninya sambil dia digerakkan ke bilik pembedahan.

Dan ketika dia dibawa ke dalam aku hanya mampu berdoa untuk yang terbaik.

Ya Allah, selamatkan isteriku dan anak sulungku.

fin.