Showing posts with label Pendekar Bertiga. Show all posts
Showing posts with label Pendekar Bertiga. Show all posts

Tuesday, March 22, 2011

Aku, Dia dan Cassandra


Aku duduk di hentian bas dek kepenatan yang menimpa-nimpa. Bow yang aku pakai sejak pagi tadi aku longgarkan. Lemas dek kerana trakeaku dihimpit ketat oleh ikatan bow itu.

Rokok Marlboro yang aku baru beli tadi aku sedut dan terus sedut.

Riuh meriah rumah Cassandra masih belum habis. Masih berduyun-duyun tetamu datang untuk mengucapkan tahniah pada Cassandra.

20 tahun aku kenal Cassandra. Hari ini hari gembira buat dia. Hari sedih buat aku.

20 tahun aku menyimpan perasaan pada Cassandra dan akhirnya semua ini aku simpan dalam hati aku.

Aku sedut asap rokok jauh ke paru-paru aku dan helakan nafas dan asap itu. Aku harap asap itu mampu terbang jauh ke kaki langit, membawa pergi rasa hati aku jauh ke horizon.

" Saya rasa perkahwinan adalah sesuatu perkara yang membosankan. "

Tiba-tiba gadis dengan mata mungil di sebelahku memulakan bicara. Aku memandang sipi wajahnya. Rokok di mulut masih tegar menghasilkan kepulan putih.

" Sebab saya terpaksa memakai kasut tumit tinggi yang menyeksakan ini selama sehari dan berpura-pura tersenyum. Padahal ianya sangat menyakitkan. "

Katanya lagi sambil tersenyum.

Aku membalas senyumannya. Bisikku dalam hati, biarlah hari ini kita kecewa. Kerana tuhan itu kadangkala menyediakan kegembiraan infiniti pada hari esok.

fin.

Sunday, January 9, 2011

Pendekar Bertiga (bhgn 2.0)

Pangkalan kumpulan samseng Say O bukanlah jauh mana sangat dari tempat pertapaan kami bertiga. Hatta dengan menggunakan jurus melangkah atas angin, kami telah berjaya tiba di tempat yang dituju dalam masa 2 minit.

Hanya Ismeth mengambil masa sedikit lama kerana dia belum lagi makan supper.

Setelah tiba di pangkalan Say O, jelas tepat sama dengan apa yang kami jangkakan. Pangkalan itu dikawal ketat seketat mungkin.

" Ketatnya kawalan di sini. Seketat baju-baju yang gua pakai. " seloroh Ismeth dengan raut muka yang serius. Konon lawak, padahal haram tak lawak langsung.

Gua sekarang lebih pentingkan keselamatan gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik itu.

" Okay. Plan dia macam ni. Ismeth cuba gegarkan tanah dengan melompat sekuat hati supaya semua pengawal yang ada di sini hilang kestabilan. Palie pula sila pecahkan pintu dengan teknik hayunan leher. Kemudian kita serbu masuk. " kata gua yang merangkap ketua pasukan pendekar ini.

Palie dan Ismeth memandang gua dengan tekun. Bila gua serius, budak berdua ni jarang main-main. Maklumlah nak masuk industri pendekar dalam dunia alaf baru ni bukan mudah. Jadi kena la dengar cakap orang yang lebih berpengalaman macam gua ni.

****

Sementara itu, di dalam bilik Say O, kelihatan Say O sedang menggoda gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik itu.

" Tengok! Sekarang aku dah shaving! Nampak hensem dakkkk? " kata Say O dalam jelingan yang agak menjelikkan.

BANGGGGGG!!!!

Tiba-tiba pangkalan Say O bergegar. Say O dan gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik itu jelas terperanjat dengan keadaan yang berlaku tiba-tiba itu.

Dan dengan keadaan yang paling cool yang boleh dibayangkan dalam minda dan sanubari, tiga susuk tubuh berdiri megah di depan pintu bilik Say O.

DUSHHH!!

Gua tak kasi can. Tumbukan padu gua lepaskan di celah kelangkang Say O. Orang yang ganggu gadis idaman gua ni memang kasi gua panas.

" ARGHHHHHH!!!! " jerit gua dalam keadaan mata gua yang merah saga akibat kemarahan yang melampau-lampau.

Sementara gua sibuk menentang Say O yang susuk tubuhnya boleh tahan lagi besar dari gua, Ismeth dan Palie pula sibuk main teka silang kata berdua-duaan. Almaklumlah, konco-konco lain sudah trauma melihat kebesaran Ismeth dan mengambil langkah bijak melarikan diri dari tempat kejadian.

DUSHHH!!! JURUS NAGA KEMBAR TIGA!!

Terbang Say O tatkala menerima jurus muktamad gua dan tersangkut pula di jendela bilik dek akibat tidak muat untuk melepasi jendela tersebut.

" Abang!!! " jerit gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik itu sebelum mendakap erat tubuh gua. Gua faham trauma gadis ini. Baru muda-muda dah kena culik dengan samseng. Jadi gua biarkan tubuh gua didakapi seeratnya.

" Sudahlah. Mari kita balik. Jangan risau. Saya sentiasa ada untuk awak. " kata gua pada gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik itu dengan pandangan mata yang ikhlas.

Subuh itu gua berjalan berpimpin tangan dengan gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik itu pulang ke rumah Pendekar Ijan. Ismeth dan Palie turut dari belakang.

Entah, mungkin ilusi optik gua sebab gua penat bertarung tapi dari jauh gua macam terlihat Ismeth dan Palie pun turut serta berpimpin tangan sesama sendiri.

Biarlah, bisik hati gua. Gua pandang mata gadis di sebelah gua. Dia balas pandangan gua sambil tersipu-sipu malu.

Bulan depannya kami kahwin.

Gua hidup bahagia dengan gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik itu dan dengar khabarnya Ismeth dan Palie pun hidup bahagia sesama sendiri.

Sekian.

fin.

Saturday, January 8, 2011

Pendekar Bertiga (bhgn 1.0)

Malam ni memang seram-seram kuku. Gua dengan dua orang sahabat gua, Palie dan Ismeth walau macam mana pun dah ambil langkah nekad. Pertapaan harus dijalankan juga. Nak pula kami sekarang tengah berguru dengan mahaguru silat agung, Pendekar Ijan.

Menurut arahan mahaguru, kami bertiga terpaksa bertapa di kawasan perkuburan yang terletak berhampiran dengan warung makan Kak Leha. Bukan apa, bertapa memang lah bertapa, makan kena juga, tegas Ismeth pada kami berdua.

" Ingat ya kawan-kawan. Walau apa pun yang datang semuanya hanyalah COBAAN! " tegas gua pada dua sahabat gua yang baru-baru ni fail dalam program bertapa bahagian satu.

Palie fail semasa disuruh bertapa di dalam telaga berhantu. Baru nak masuk kepala tersangkut bucu telaga. Ismeth pula tak tahan bertapa di rumah kosong dek sebab terlupa membawa bekal makanan.

" Jadi marilah kita sama-sama memulakan pertapaan dengan berzikir dan ingat kepada Tuhan. " kata gua pada Palie dan Ismeth.

****

Hampir 2 jam selepas itu, kelihatan Pendekar Ijan meluru laju ke arah kami bertiga. Gua selaku sahabat yang paling matang menenangkan kawan-kawan gua, bahawa itu hanya COBAAN semata-mata.

" Anak-anak, tolong pakcik anak-anak. Anak saudara pakcik baru saja diculik kumpulan samseng Say O! " kata Pendekar Ijan dalam nada secemas mungkin.

Mendengar perkataan anak saudara Pendekar Ijan membuatkan gua terliur sejenak. Ya, siapa boleh lupa gadis kacukan Inggeris-Melayu yang punya mata cantik itu?

" COBAAN!! " tegas Palie dan Ismeth menyedarkan gua dari lamunan. Ini tak boleh jadi ni. Gua nyaris-nyaris terpedaya dek halusinasi ini. Gua kena lebih teguh!

" Aduhhhh! Ini bukan cobaan! Ini betul-betul kejadian! " tegas halusinasi yang tampak agak berang dengan kami bertiga yang mengabaikannya buat kali pertama.

" COBAAN! " kami bertiga menguatkan suara. Dengan cobaan ni kita tak boleh kasi muka. Kalau kasi muka mulalah nak naik kepala. Ismeth mula merenung tajam halusinasi berkenaan.

" Aduh!! Sudah aku bilang, ini bukan cobaan! Ini betul-betul! " tegas Pendekar Ijan sambil menghentakkan kaki di atas tanah.

" COBAAN!! " suara kami kian bertambah yakin. Hajat kami untuk menghabiskan pertapaan dan mengalahkan halusinasi ini kian berkobar-kobar dalam jiwa.

" Papanye, kenapa ni papanye?? " kata Wawa, isteri Pendekar Ijan yang muncul secara tiba-tiba di sebelah Pendekar Ijan. Peh, ini bukan calang-calang punya halusinasi ni. Jenis halusinasi yang stail datang bawa bini ni memang halusinasi kelas tertinggi. Kami bertiga kena lebih bersiap sedia.

Setelah diterangkan oleh Pendekar Ijan, Wawa mengalihkan perhatian pada kami bertiga. Kami sudah siap sedia. Tenaga dalaman sudah dipertingkatkan untuk mengelakkan sebarang masalah.

" Anak-anak, ini bukan cobaan! Ini betul-betul! " kata Wawa. Tugas halusinasi primer nampaknya telah dialihkan pada bini Pendekar Ijan.

" COBAAN!! " kata gua dan rakan gua. Ismeth cuba meningkatkan tenaga dalamannya dengan membuat gaya ala-ala Buddha. Saling tak tumpah kalau gua tengok dari tepi.

PANG! PANG! PANG!

Satu-satu penampar hinggap di pipi kami. Kali ini bukan dari Wawa. Kali ini dari orang gaji mereka pula, Makcik Fatin.

Ini kali pertama gua nampak halusinasi bawa orang gaji. Memang jenis cobaan tahap tertinggi.

PANG! PANG! PANG!

Lagi sekali kami disepak.

" Kepala hotak lu cobaan! Ini betul-betul lah gila! Anak saudara pendekar, gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik itu sudah diculik samseng kumpulan Say O! " tegas orang gaji, Makcik Fatin.

Menyedari pipi Ismeth yang sudah mula merah, gua mula rasa macam dalam filem Inception. Yang mana satu mimpi, yang mana satu realiti? Terus gua putarkan gasing gua yang gua jadikan pedoman kalau-kalau gua tersangkut dalam mana-mana mimpi dan dipaksa menceritakan rahsia kacak gua.

Gasing berhenti. Jelas sekali ini bukan mimpi!

" Ceh! Siapa yang berani menculik gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik tu? " tegas gua, tiba-tiba emo.

" Kawan-kawan! Mari kita pergi hentak orang! " ajak gua. Ismeth dan Palie turut bersemangat.

Malam ni gua dan kawan-kawan gua berhajat mahu laukkan kumpulan samseng Say O.

Pendekar Ijan, bini pendekar Wawa dan orang gaji Makcik Fatin hanya mampu melihat kami dengan rasa kagum.

to be..