Wednesday, June 1, 2011

Akak Kastam 3

" Baju family day dah sampai!! " jerit Fadhli dari luar sambil membawa t shirt turqoise berbundle-bundle.

" Okay. Semua orang boleh ambil baju masing-masing ya. Lepas ambil boleh tick nama kat sini. Ambil ikut saiz yang ditempah. Nak tukar saiz sila maklumkan pada saya. " jerit Farah yang tiba-tiba bersemangat.

Sambil kak kastam memilih baju Farah sempat berbual-bual dengan Fadhli.

Entah apa yang disembangkan oleh mereka berdua, itu kurang pasti, yang pastinya ada perkataan Broga dan I love you. Kak kastam malas ambil port. Gosip bergosip ni bukan rukun hidup, prinsip kak kastam.

Sudah memilih baju, kak kastam tanpa melengahkan masa terus cuba baju yang dibeli. Eksaited nak pergi famili day gamaknya. Lantas kak kastam bergegas ke tandas.

***

Selepas habis mencuba baju dan menempek-nempek bedak di muka dalam setempek dua, kak kastam keluar tandas bawa muka jenis yang tak boleh bawa bergurau.

" Dik, baju kak tak padan. " ujar kak kastam ringkas tapi dalam pernyataan yang sungguh padu. Nampak sangat kak kastam tak ada mood nak bergurau.

" Kak minta saiz apa? " tanya Farah, jenis tanya serius bukan nak bergurau.

" M. "

Farah diam. Terpana. Nak jawab salah tak nak menjawab pun salah. Farah jeling kak kastam jenis jelingan tak tau nak kata apa.

Kak kastam paham. Kak kastam ambil borang baju, padam M tulis XXL.

Minggu depan aku taknak makan nasi dah! Azam kak kastam dalam hati.

to be..

Monday, May 30, 2011

Akak Kastam 2

" Awatnya mesej kak, Farah? " tanya kak kastam sebaik saja sampai di tingkat 3. Mengah juga gayanya. Tapi pelan-pelan kak kastam sedut nafas pakai hidung, hembus ikut mulut.

Ini la gayanya orang belajar Yoga kelas pagi Ahad. Kak kastam mengamalkan kelas yoga selepas baru-baru ini dia dinobatkan sebagai kastam paling gemok di Alor Setar.

" Ni Senah ni kak. Dia nak cakap kat kak pasal MLM. " jawab Farah jenis buat-buat bizi tak menempat sambil menjuihkan mulut ke arah budak muda rambut belah tengah.

Sambil lap peluh di ketiak, kak kastam menyumpah-nyumpah dalam hati.

to be..

Saturday, May 7, 2011

Akak Kastam 1

" Kak ni lepas ni ada family day pulak dik oiiii. " kata Akak Kastam, ringkas sambil mengunyah bihun goreng dengan laju tetapi kemas.

Baharom mengangguk tanda terima. Baharom yang baru 2 bulan jaga tender kafe Pejabat Kastam dah selesa dengan perangai pegawai-pegawai situ.

Jam pukul 10, awal lagi kata akak kastam. Maklumlah orang kerja gomen ni masa-masa macam ni baru nak minum pagi.

" Kak ni kalau boleh malas nak pi family day. Tapi nanti orang kata apa pulak? Hidup bermasyarakat macam ni laaa. " bebel akak kastam lagi.

PAP!

Baharom menampar lalat yang cuba hinggap. Susah benar jaga tender Kastam ni. Banyak lalat.

'Bila cinta ini, tak lagi bermakna....'

Bunyi henpon kak kastam. Pap! Mesej dibaca dalam keadaan mengunyah bihun.

" Alamak kak ada kerja la dik. Berapa ringgit bihun ni? " tanya kak kastam tergesa-gesa.

" RM1.50. " jawab Baharom tenang.

Kak kastam pantas menyeluk purse dan menghulurkan RM 10 pada Baharom.

" Takdak duit kecik ka kak? Kedai baru buka, duit takdak lagi kak. " kata Baharom, risau.

" Takpalah dik. Petang-petang sikit la pun takpa. Bukan tak jumpa dah. " jawab kak kastam sambil mencapai pencungkil gigi.

Kak kastam bingkas bangun dan bergerak ke lif. Lepas makan ni tak elok terus naik tangga, kata orang, nanti senak perut. Kak kastam berjalan pantas. Jenis jalan pantas orang pakai kain ketat.

" Kak! Saya nak panggil apa kat kak nanti? " jerit Baharom. Risau kak kastam hilang ditelan lif. Risau juga kalau dia gagal pulangkan wang baki nanti. Hal duit ni tak boleh buat main. Amanah tu semua.

" Kak dulu orang panggil Leha. Tapi adik panggil kak sudah la. Orang sini semua panggil kak ja. " jawab kak kastam sambil mencungkil gigi dan menekan-nekan butang lif yang tak terbuka dari tadi.

" Kak! Kak! " panggil Baharom lagi. Lebih bersemangat dari tadi.

" Awatnya? Nanti la setel pasal duit tu. Kak ada kes ni. " jawab kak kastam tegas sambil menekan-nekan butang lif.

" Kak! " panggil Baharom lagi.

" Awat? " jerit kak kastam emo.

" Lif rosak, kak. " jelas Baharom ringkas sambil angkat pinggan bihun.

Zap! Tak sampai seminit kak kastam lesap naik tangga.

to be..

Monday, April 25, 2011

Siri Supernatural I


Ismeth dan Palie merupakan kawan yang sangat baik. Malah, hubungan mereka lebih dari sepasang kawan baik.

Mereka adalah pemburu makhluk paranormal.

***

Tarikh : 22 Februari 2010
Masa : 1.33 pagi
Tempat : Rumah usang entah mana-mana

" Palie, bacaan EMF menunjukkan ada makhluk paranormal di sini! " jerit Ismeth memecahkan kesunyian malam.

PANG! Tanpa melengahkan masa Palie melempang Ismeth jenis lempang anak malas pergi mengaji. Dari isyarat mata Palie, jelas Palie tidak senang dengan perangai gedik Ismeth yang suka menjerit setiap kali nak jumpa hantu.

Sedar dengan kesalahan sendiri, Ismeth bangun perlahan-lahan. Dia dan Palie menyusun gerak ke dalam rumah usang itu. Bagi Ismeth dan Palie, benda ni tak boleh buat main. Ini benda serius.

Siu. Siu. Siu. Bunyi angin bertiup di kiri.

Suhu turun mendadak. Ismeth yang hanya berpakaian singlet hitam hanya mampu menggigil sambil memeluk tubuhnya yang separuh bogel itu. Kesian, Palie membalutkan tangan beliau yang sudah sedia maklum panjang ke badan Ismeth.

PANG! Tingkap pecah. Bacaan EMF melonjak naik menandakan kewujudan entiti di situ. Ismeth tak buang masa, dia terus melempar garam ke arah sekeliling.

ARGHHHH! Jerit entiti tersebut!

Sebelum sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, kelihatan entiti itu sudah reda kemarahannya. Ismeth menoleh ke belakang. Peh, pantas dan comel juga Palie ni baca Yaasin, desas hati kecil Ismeth.

Tak sampai 15 minit, Palie dan Ismeth telah berjaya menghalau entiti yang telah menghuni rumah usang itu selama lebih 20 tahun.

Siapa mereka? Merekalah pemburu paranormal pertama di Malaysia.

Episod seterusnya : Hantu lain pulak!

fin.

Friday, April 15, 2011

She Knows


A guy is in love with a girl and he is scared to tell her. And for a period of time he just look at her from distance.

Today, in his deathbed he call his mother and told her about his affection of her.

" Ma, please tell her that I love her. "

His mother smile and said,

" Don't worry dear. She knows. Girl always know. "

fin.

Tuesday, March 22, 2011

Aku, Dia dan Cassandra


Aku duduk di hentian bas dek kepenatan yang menimpa-nimpa. Bow yang aku pakai sejak pagi tadi aku longgarkan. Lemas dek kerana trakeaku dihimpit ketat oleh ikatan bow itu.

Rokok Marlboro yang aku baru beli tadi aku sedut dan terus sedut.

Riuh meriah rumah Cassandra masih belum habis. Masih berduyun-duyun tetamu datang untuk mengucapkan tahniah pada Cassandra.

20 tahun aku kenal Cassandra. Hari ini hari gembira buat dia. Hari sedih buat aku.

20 tahun aku menyimpan perasaan pada Cassandra dan akhirnya semua ini aku simpan dalam hati aku.

Aku sedut asap rokok jauh ke paru-paru aku dan helakan nafas dan asap itu. Aku harap asap itu mampu terbang jauh ke kaki langit, membawa pergi rasa hati aku jauh ke horizon.

" Saya rasa perkahwinan adalah sesuatu perkara yang membosankan. "

Tiba-tiba gadis dengan mata mungil di sebelahku memulakan bicara. Aku memandang sipi wajahnya. Rokok di mulut masih tegar menghasilkan kepulan putih.

" Sebab saya terpaksa memakai kasut tumit tinggi yang menyeksakan ini selama sehari dan berpura-pura tersenyum. Padahal ianya sangat menyakitkan. "

Katanya lagi sambil tersenyum.

Aku membalas senyumannya. Bisikku dalam hati, biarlah hari ini kita kecewa. Kerana tuhan itu kadangkala menyediakan kegembiraan infiniti pada hari esok.

fin.

Monday, February 21, 2011

Salji Turun Lagi

Hari ini salji turun dengan lebatnya di Seoul.

Namun, Salim, dengan seluar pendeknya masih setia di pangkin rumahnya. Entah kenapa sejak dari kecil, Salim sukakan salji.

Bertemankan gumpalan salji yang semakin membukit, Salim merenung jauh ke rumah kecil bertentangan dengannya.

Melihat Aisha yang baru pulang dari hospital.

Baru-baru ini Aisha ditimpa kecelakaan. Kereta yang dipandunya terbabas dan terjatuh gaung. Ajaib dia masih dapat hidup, namun jantungnya cedera teruk. Hanya pemindahan jantung dapat menyelamatkan nyawanya.

Nasib tidak menyebelahi Aisha, tiada penderma yang sesuai dengannya buat masa itu.

Dan keajaiban berlaku lagi. Seorang penderma organ telah mendermakan jantungnya hanya untuk Aisha, dan Aisha terselamat.

Lemah, namun Aisha masih mampu tersenyum setelah pulang dari hospital. Salim gembira melihat kepulangan Aisha. Perlahan-lahan dia menyentuh dadanya dan memejamkan matanya.

***

Aisha pandang halaman rumah yang bertentangan dengannya. Kosong. Rumahnya kosong, halamannya yang tidak dibersihkan dan pangkin yang penuh dengan salji.

Pelik. Selalunya pada masa itu pasti akan ada seorang lelaki di pangkin rumah itu. Menikmati gumpalan salji yang jatuh dari langit.

Dan entah kenapa, Aisha merasakan salji yang turun pada hari itu indah dan sangat menyelesakan. Biarlah salji turun lagi.

Aisha pegang dadanya, jantung barunya berdegup dengan harapan baru.

Biarlah salji turun lagi.

fin.