Monday, February 21, 2011

Salji Turun Lagi

Hari ini salji turun dengan lebatnya di Seoul.

Namun, Salim, dengan seluar pendeknya masih setia di pangkin rumahnya. Entah kenapa sejak dari kecil, Salim sukakan salji.

Bertemankan gumpalan salji yang semakin membukit, Salim merenung jauh ke rumah kecil bertentangan dengannya.

Melihat Aisha yang baru pulang dari hospital.

Baru-baru ini Aisha ditimpa kecelakaan. Kereta yang dipandunya terbabas dan terjatuh gaung. Ajaib dia masih dapat hidup, namun jantungnya cedera teruk. Hanya pemindahan jantung dapat menyelamatkan nyawanya.

Nasib tidak menyebelahi Aisha, tiada penderma yang sesuai dengannya buat masa itu.

Dan keajaiban berlaku lagi. Seorang penderma organ telah mendermakan jantungnya hanya untuk Aisha, dan Aisha terselamat.

Lemah, namun Aisha masih mampu tersenyum setelah pulang dari hospital. Salim gembira melihat kepulangan Aisha. Perlahan-lahan dia menyentuh dadanya dan memejamkan matanya.

***

Aisha pandang halaman rumah yang bertentangan dengannya. Kosong. Rumahnya kosong, halamannya yang tidak dibersihkan dan pangkin yang penuh dengan salji.

Pelik. Selalunya pada masa itu pasti akan ada seorang lelaki di pangkin rumah itu. Menikmati gumpalan salji yang jatuh dari langit.

Dan entah kenapa, Aisha merasakan salji yang turun pada hari itu indah dan sangat menyelesakan. Biarlah salji turun lagi.

Aisha pegang dadanya, jantung barunya berdegup dengan harapan baru.

Biarlah salji turun lagi.

fin.

Monday, January 24, 2011

" Saya nak protek awak! "

Sumaiyah ada kawan yang cool.

Rambut cacak ke atas. Pakai jeans skinny. Berkaca mata hitam. Kawan Sumaiyah memang cool.

Lagi-lagi kawan Sumaiyah adalah seorang yang sangat bersifat pelindung. Kata atuk Sumaiyah, keluarga kawannya berasal dari keturunan kesatria King Arthur, oleh itu semangat kesetiakawanan dan kekeluargaan dalam diri kawan Sumaiyah memang mendalam.

Itu kata atuk. Kalau atuk tipu, maka kiranya Sumaiyah pun tipu lah juga.

****

" Saya nak protek Sumaiyah! "

Jelas kawan Sumaiyah ketika ditanya cita-cita semasa kecil. Bukan senang seorang budak berumur 7 tahun untuk memikirkan cita-cita yang logik difikirkan akal. Jadi selaku seorang cikgu, rasanya cita-cita tu boleh kira pakai agak-agak sweet dan menarik.

Tapi gelak juga satu kelas selepas mendengarnya.

****

" Saya nak protek awak! "

Kata kawan Sumaiyah pada umur 18 tahun. Kali ni dah kurang nampak comel. Cuma masih ada iras-iras sweet dan potensi dapat penampar kalau diajukan pada masa yang kurang tepat. Contohnya masa-masa seperti Sumaiyah datang bulan dan Sumaiyah lapar.

Tapi Sumaiyah senyum juga mendengarnya.

****

" Saya nak protek awak! "

Katanya lagi ketika ibu bapa Sumaiyah meninggal di dalam kemalangan yang tragis ketika Sumaiyah berumur 23 tahun. Kali ni memang sumpah terharu.

Sumaiyah menangis dan memeluk rakannya itu.

****

" Saya nak protek awak! "

Katanya lagi ketika dia menyarungkan cincin pada hari perkahwinan mereka. Ada rakan-rakan yang memandang buat-buat angkat call sebab terharu dengan sifat romantis pasangan ini.

Dahi Sumaiyah dikucup lembut.

****

" Saya nak protek awak dan dia! "

Katanya ketika menyambut kelahiran anak sulung mereka ketika berusia 33 tahun.

Baby ketawa. Sumaiyah tersenyum.

****

30 tahun kemudian, selepas 6 tahun bergelut dengan kanser, di atas katil dia memegang jari Sumaiyah dan mengucapkan kata-kata itu.

" Saya nak protek awak. "

63 tahun hidup. 60 tahun kenal. 33 tahun berkahwin. Dan dia tak pernah lupa dengan janjinya pada Sumaiyah.

Sebab dia sentiasa protek Sumaiyah.

fin.

Thursday, January 20, 2011

Bukan Cerita Yang Dia Cerita (part last)

" Leha kan dah lama meninggal. " tegas Pak Cik Khairul selepas Hazal menceritakan kisah kegembiraan bersama Ilya yang baru dikecapinya bersama sebentar tadi. Kisah dengan salji berwarna pelangi, kisah ketawa yang sampai ke tahap infiniti.

Hazal terbeliak. Habis, tadi...? 10 minit yang lalu siapa yang bersamanya. Siapa yang memukul tulang rusuknya dengan debaran hati yang kencang?

****

10 tahun dahulu, selepas bertahun pemergian Hazal, Ilya masih menunggu. Menunggu di hentian itu. Ditemani salji berwarna pink, hujan meteor dan biji benih cinta yang kerap menemaninya.

Namun Ilya tetap menunggu.

Suatu hari salji sejuk turun, namun Ilya masih setia menunggu. Salji terlalu sejuk.

Sangat sejuk.

Dan esoknya, gadis itu beku di bawah sinaran mentari pagi. Raut wajahnya langsung tidak berubah. Namun, kini gadis itu telah diselaputi 6 inci ais.

6 inci ais kini memisahkan gadis itu dengan dunia realiti.

****

Di atas dataran yang maha agung, gah di sana sebuah keranda kaca bersalut emas. Dikelilingi bunga-bunga tulips. Disaluti rama-rama berwarna merah jambu.

Dan di dalamnya seorang gadis cantik yang telah dipisahkan dengan dunia realiti oleh ais 6 inci.

Hari ini seorang lelaki datang melihat keranda kaca itu. 10 tahun telah berlalu namun jelita wajah gadis itu sedikit pun tak berubah.

Lelaki itu tersenyum. Sekuntum bunga tulips diletakkan di atas keranda kaca.

Hari ini dia datang. Esok pun dia akan datang.

Sehingga penghujung dunia. Sehingga apokalips.

Lelaki itu akan melangkah memberi bunga tulips.

fin.

Tuesday, January 18, 2011

Bukan Cerita Yang Dia Cerita (part 3.0)

Salji warna pelangi turun lagi hari ini. Anak-anak kecil lekas mengumpulkan salji berwarna pelangi itu untuk dikumpulkan dalam mangkuk. Hidangan hari ini pastilah ABC berwarna pelangi.

Dua susuk tubuh menggigil kesejukan di sebuah perhentian bas berdekatan.

" Saya tak sangka hari ni akan turun salji warna pelangi. " kata Ilya.

" Saya pun. " balas Hazal.

" Nak coat saya? " tanya Hazal lagi.

Ilya geleng. Mungkin dia ingin merasai sentuhan salji berwarna pelangi itu.

" Cantik. " kata Ilya.

" Ada yang lagi cantik. " kata Hazal.

" Apa dia? "

Hazal menjuihkan mulutnya ke arah Ilya.

Ilya toleh belakang. Di belakang ada sungai yang dipenuhi ikan-ikan duyung yang rata-ratanya masih muda sedang mengeringkan baju-baju mereka.

" Ikan duyung tu? " tanya Ilya.

" Tak. " jawab Hazal.

Ilya toleh belakang lagi. Depan sungai ada seekor anak harimau kumbang yang memakai riben sedang bermain kejar-kejar dengan seekor anak dubuk.

" Baby harimau kumbang tu? "

" Tak. "

Ilya toleh belakang lagi. Hanya tinggal seorang anak kecil sedang mengumpulkan salji untuk hidangan ABC pagi ini.

" Budak ni ke? "

" Tak. "

" Habis kalau bukan benda belakang saya...!!? " terhenti dialog Ilya.

Hazal senyum. Ilya senyum. Dan salji warna pelangi yang turun pada hari ini disudahi dengan hujan meteor indah yang setiap satunya adalah hajat jiwa muda yang baru mula bercinta.

Namun dua jiwa ini sudah tidak perlu berhajat lagi.

to be..

Sunday, January 16, 2011

Bukan Cerita yang Dia Cerita (part 2.0)


Persis-persis hujan mutiara jatuh ketika Ilya turun dari gondola kesayangannya. Dan sebelum kakinya jatuh menyembah bumi ia disambut oleh seekor rama-rama Uganda yang berwarna kuning dan pink.

" Hehehe " kata Ilya. Seronok. Pipinya bergegar ketika dia menahan gelak.

Mata Ilya menyorot terus ke dada Hazal. Hazal pun. Dada Hazal penuh dengan darah.

Cis. Jantung Hazal berdegup terlalu kencang ketika bertemu Ilya sehingga ia menghentam kuat paru-paru dan tulang rusuknya lantas menyebabkan pendarahan kelas 3 pada dada Hazal.

Malu. Hazal lekas-lekas menyembunyikan kesan luka dan memujuk keras jantungnya supaya berhenti berdegup dengan terlalu kencang.

" Bila balik? "

" Tadi. Naik Concorde. "

" Oh. Patut lambat. Lama tak nampak? "

" Biasalah. Banyak hal di Michigan. "

" Dah 113000 tahun cahaya pergi ke Michigan. Jumpa apa nak? "

" Jumpa apa? "

" Benda yang Hazal cari? "

" Apa yang Hazal cari? "

" Penyelesaian kontinoum masa dan ruang yang kononnya dapat membantu puak Dayak di Bulan. "

" Oh itu. "

" Dapat tak? "

" Dapat sikit. "

" Baguslah. "

" Leha nak pergi mana? "

(tunjuk arah depan)

" Jom. "

Pergi mati penyelesaian kontinoum masa dan ruang. Hari ini dua hati tampak lagi bersinar-sinar dari Galaksi Andromeda.

to be..

Bukan Cerita yang Dia Cerita (part 1.0)

Hari itu hujan turun seperti hujan tak pernah turun. Boleh kata lebat, boleh juga kata tak. Tapi baju-baju di ampaian yang tidak terangkat semuanya basah dan mungkin tidak akan kering dalam masa yang terdekat ini.

Turunnya hujan bersama burung-burung kecil yang terbang menaburkan benih-benih cinta di sekitar kawasan perumahan kecil ini.

Ada benih cinta yang jatuh di hadapan rumah Ismeth. Esoknya ia membesar dan menjadi seorang jejaka dari dunia tarian.

Ada benih cinta yang jatuh di hadapan rumah Wawa. Esoknya ia membesar dan menjadi seorang jejaka pendek yang sama tinggi dengan beliau.

Namun, ada benih cinta ini jatuh sipi-sipi dengan motorsikal Kriss Iskandar. Dia hampir kemalangan dek benih cinta yang ditaburkan oleh burung-burung kecil yang langsung tidak tahu melihat warna lampu isyarat.

***

Dalam hujan yang turun seperti tidak pernah turun itu, Hazal dibawa pulang oleh Concorde kecil yang dibelinya di Guatemala. Sudah selesai mengemas baju-baju di dalam beg, Concorde itu dimasukkan di dalam koceknya dan dia melangkah megah masuk ke perumahan kecil yang tak pernah dilanda gempa bumi itu.

Seolah-olah dramatik filem Tamil, melangkah masuknya Hazal ke dalam kawasan perumahan hujan berhenti dan semuanya sunyi sepi.

Hanya kedengaran bunyi-bunyi antelope liar yang mengejar manja anak-anak singa sambil meratah pucuk paku yang mudah didapati di kawasan perumahan itu.

" Hazal? "

Bila mana dia menoleh, dia melihat sekujur tubuh langsing berbaju kebaya ketat warna putih, bertahi lalat di kanan bibir dan memegang payung murah berwarna putih.

Hazal menggosok matanya. Cilake, takkan aku nampak pari-pari, bisik hati kecilnya. Dia melihat kembali dan menggosok semula matanya. Ke orang bunian, kata lagi hatinya.

Hasilnya dia dan hatinya terpaksa berpakat dan berkompromi yang berada di depan matanya itu sekarang bukan pari-pari mahupun orang bunian.

Hanya seorang gadis bernama Ilya.

to be..

Sunday, January 9, 2011

Pendekar Bertiga (bhgn 2.0)

Pangkalan kumpulan samseng Say O bukanlah jauh mana sangat dari tempat pertapaan kami bertiga. Hatta dengan menggunakan jurus melangkah atas angin, kami telah berjaya tiba di tempat yang dituju dalam masa 2 minit.

Hanya Ismeth mengambil masa sedikit lama kerana dia belum lagi makan supper.

Setelah tiba di pangkalan Say O, jelas tepat sama dengan apa yang kami jangkakan. Pangkalan itu dikawal ketat seketat mungkin.

" Ketatnya kawalan di sini. Seketat baju-baju yang gua pakai. " seloroh Ismeth dengan raut muka yang serius. Konon lawak, padahal haram tak lawak langsung.

Gua sekarang lebih pentingkan keselamatan gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik itu.

" Okay. Plan dia macam ni. Ismeth cuba gegarkan tanah dengan melompat sekuat hati supaya semua pengawal yang ada di sini hilang kestabilan. Palie pula sila pecahkan pintu dengan teknik hayunan leher. Kemudian kita serbu masuk. " kata gua yang merangkap ketua pasukan pendekar ini.

Palie dan Ismeth memandang gua dengan tekun. Bila gua serius, budak berdua ni jarang main-main. Maklumlah nak masuk industri pendekar dalam dunia alaf baru ni bukan mudah. Jadi kena la dengar cakap orang yang lebih berpengalaman macam gua ni.

****

Sementara itu, di dalam bilik Say O, kelihatan Say O sedang menggoda gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik itu.

" Tengok! Sekarang aku dah shaving! Nampak hensem dakkkk? " kata Say O dalam jelingan yang agak menjelikkan.

BANGGGGGG!!!!

Tiba-tiba pangkalan Say O bergegar. Say O dan gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik itu jelas terperanjat dengan keadaan yang berlaku tiba-tiba itu.

Dan dengan keadaan yang paling cool yang boleh dibayangkan dalam minda dan sanubari, tiga susuk tubuh berdiri megah di depan pintu bilik Say O.

DUSHHH!!

Gua tak kasi can. Tumbukan padu gua lepaskan di celah kelangkang Say O. Orang yang ganggu gadis idaman gua ni memang kasi gua panas.

" ARGHHHHHH!!!! " jerit gua dalam keadaan mata gua yang merah saga akibat kemarahan yang melampau-lampau.

Sementara gua sibuk menentang Say O yang susuk tubuhnya boleh tahan lagi besar dari gua, Ismeth dan Palie pula sibuk main teka silang kata berdua-duaan. Almaklumlah, konco-konco lain sudah trauma melihat kebesaran Ismeth dan mengambil langkah bijak melarikan diri dari tempat kejadian.

DUSHHH!!! JURUS NAGA KEMBAR TIGA!!

Terbang Say O tatkala menerima jurus muktamad gua dan tersangkut pula di jendela bilik dek akibat tidak muat untuk melepasi jendela tersebut.

" Abang!!! " jerit gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik itu sebelum mendakap erat tubuh gua. Gua faham trauma gadis ini. Baru muda-muda dah kena culik dengan samseng. Jadi gua biarkan tubuh gua didakapi seeratnya.

" Sudahlah. Mari kita balik. Jangan risau. Saya sentiasa ada untuk awak. " kata gua pada gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik itu dengan pandangan mata yang ikhlas.

Subuh itu gua berjalan berpimpin tangan dengan gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik itu pulang ke rumah Pendekar Ijan. Ismeth dan Palie turut dari belakang.

Entah, mungkin ilusi optik gua sebab gua penat bertarung tapi dari jauh gua macam terlihat Ismeth dan Palie pun turut serta berpimpin tangan sesama sendiri.

Biarlah, bisik hati gua. Gua pandang mata gadis di sebelah gua. Dia balas pandangan gua sambil tersipu-sipu malu.

Bulan depannya kami kahwin.

Gua hidup bahagia dengan gadis kacukan Inggeris-Melayu yang bermata cantik itu dan dengar khabarnya Ismeth dan Palie pun hidup bahagia sesama sendiri.

Sekian.

fin.